Pengenalan Unit Audit Dalam

Kuasa Penubuhan

Unit Audit Dalam (UAD) telah ditubuhkan pada 16 Julai 1987 di bawah Peraturan Kewangan dan Perakaunan Universiti Utara Malaysia yang berkuatkuasa pada 1 Januari 1989. Peraturan ini dibuat berdasarkan kuasa yang diberikan di bawah Seksyen 29 Perlembagaan Universiti Utara Malaysia.

Penubuhan ini dibuat mengikut prinsip-prinsip yang dinyatakan dalam Pekeliling Perbendaharaan Bil.2 Tahun 1979 (di batalkan pada 12 Oktober 2004 dan diganti dengan Pekeliling Perbendaharaan Bil. 9 Tahun 2004). Peranan UAD telah diperincikan oleh Surat Pekeliling Am Bil. 3 Tahun 1998.

Definisi Unit Audit Dalam

Pekeliling Perbendaharaan Bil. 9 Tahun 2004
Audit dalam merupakan satu fungsi bebas yang memberi kepastian dan khidmat perundingan secara objektif untuk menambah nilai dan mempertingkatkan tahap operasi organisasi.

Peraturan Kewangan dan Perakaunan Universiti Utara Malaysia 1 Januari 1989 (dikemaskini April 2012)

UAD akan menjadi penilai bebas di dalam Universiti dan akan membuat penilaian segala operasi kewangannya. Penilaian dibuat berupa kawalan pengurusan untuk mengukur dan menilai keberkesanan kawalan-kawalan tertentu.

Pernyataan Misi Unit Audit Dalam

Membantu meningkatkan kecemerlangan Universiti melalui pengauditan yang profesional terhadap semua program, aktiviti dan operasi Universiti sejajar dengan wawasan dan objektif Universiti.

UAD membantu pencapaian objektif Universiti melalui pendekatan pengauditan yang bersistematik dan berdisiplin untuk menilai pengurusan risiko, kawalan dalaman dan proses tadbirurus Universiti.

Fungsi- Fungsi Utama Unit Audit Dalam

Fungsi – fungsi Utama UAD ialah menjalankan Audit Kewangan dan Audit Pengurusan

Audit Kewangan

Audit Kewangan melibatkan urusan menyemak, meneliti dan menilai perkara-perkara berikut :

  1. Kesempurnaan, keutuhan dan kebergunaan kawalan perakaunan dan kewangan.
  2. Keberkesanan ekonominya kawalan tersebut.
  3. Kesempurnaan, keutuhan, ketulusan dan kewajaran rekod-rekod dan data perakaunan dan kewangan.
  4. Pengawalan harta-harta universiti dimasukkira dan dilindungi dari kehilangan dan kerosakan.
  5. Keutuhan polisi rancangan, tatacara, peraturan dan perundangan.

Audit Pengurusan

Audit Pengurusan melibatkan urusan mengkaji, meneliti, dan menilai perkara-perkara berikut :

  1. Kecekapan dan kekesanan program-program dan operasi-operasi yang dilaksanakan oleh universiti.
  2. Faktor yang menjejaskan prestasi kakitangan di semua peringkat dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.
  3. Kesempurnaan, keutuhan dan kebergunaan kawalan pengurusan ke atas program dan operasi universiti.
  4. Keberkesanan dan ekonominya kawalan tersebut.
  5. Kepatuhan perundangan dan sekatan undang-undang ke atas pengurusan universiti atau programnya dipatuhi.
  6. Sejauh manakah bahan-bahan dan harta universiti telah digunakan bagi mencapai objektif dan program universiti keseluruhannya.
  7. Kesempurnaan, keutuhan, ketulusan dan kewajaran laporan pengurusan dan data lain yang diwujudkan dalam universiti.

Peranan Unit Audit Dalam

Unit Audit Dalam diberi tanggungjawab menjalankan tugas audit kewangan dan audit pengurusan dengan bidang tugas seperti berikut :

  1. Mengkaji semula organisasi dalam tempoh tertentu untuk mengetahui sama ada fungsi perangcangan, penyeliaan, arahan dan pengawalan berdasarkan dasar, arahan dan peraturan pengurusan telah dilaksanakan dengan berkesan sejajar dengan objektif dan amalan pengurusan yang baik.
  2. Menentukan kebolehpercayaan dan keberkesanan sistem kewangan dan sistem kawalan dalaman dan pengawasan operasi.
  3. Mengkaji ketepatan dan kesahihan maklumat kewangan dan mengenalpasti cara untuk mengukur, menjenis dan melaporkan maklumat tersebut.
  4. Mengkaji sistem sedia ada untuk memastikan ianya selaras dengan dasar dan peraturan terutamanya bidang yang mempunyai kesan terhadap operasi serta menentukan tahap pematuhan kepada segala dasar, undang-undang, peraturan dan arahan yang berkuatkuasa. Jika perlu, mencadangkan dasar yang sesuai.
  5. Mengkaji cara yang sesuai untuk melindungi aset dan kepentingan organisasi dari segi kehilangan, penipuan dan penyelewengan dan mengesahkan kewujudan aset tersebut.
  6. Menilai faedah dan keberkesanan penggunaan sumber yang ada, mengenalpasti peluang untuk meningkatkan penggunaan sumber serta mencadangkan cara untuk mengatasi masalah yang berkaitan.
  7. Mengkaji perjalanan organisasi dan pelaksanaan program untuk memastikan sama ada hasilnya selaras dengan objektif yang telah ditentukan, dan sama ada ianya telah dilaksanakan sepertimana yang dirancangkan secara berhemat, cekap dan berkesan.
  8. Melaporkan kepada Jawatankuasa Audit UUM
  9. Menyelaras tugas Unit Audit Dalam dengan Audit Luar.
     
uum mygov msc mampu myideas myline tourism krste sirim

sirim