Biodata Naib Canselor

GambarVCPROFESOR DATO' SERI DR. MOHAMED MUSTAFA ISHAK
NAIB CANSELOR
UNIVERSITI UTARA MALAYSIA

Profesor Dato' Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak adalah Profesor dalam bidang politik dan pengajian antarabangsa di Universiti Utara Malaysia. Beliau mempunyai ijazah PhD (Political Sociology) daripada University of Leeds, United Kingdom dan MA (Politics) daripada University of York, United Kingdom serta B.A.Hons (Sains Politik) daripada Universiti Kebangsaan Malaysia.

Kajian PhD beliau ialah mengenai politik etnik dan nasionalisme dalam konteks pembentukan Bangsa Malaysia.  Beliau telah menulis beberapa buah buku dan puluhan makalah dalam pelbagai jurnal dan media tempatan dan antarabangsa. Salah satu daripadanya yang bertajuk “Politik dan Pemerintahan Negara” yang telah menjadi rujukan di institusi pengajian tinggi tempatan.

Beliau adalah pakar dalam bidang politik Malaysia dan Asia Tenggara dan sering dirujuk oleh pelbagai pihak di dalam dan luar Negara bagi memberikan perspektif kepakaran dalam bidang politik dan hal ehwal antarabangsa.

Di samping itu, Beliau adalah Presiden Pengasas, Association of International Studies (Malaysia) dan juga Ketua Editor, Journal of International Studies (Malaysia). Beliau pernah menjadi Profesor Pelawat di beberapa buah negara antaranya berpengalaman mengajar di University of Paris dan University of Le Havre, kedua-duanya di Perancis dan beberapa buah universiti di Indonesia.

Kerjaya beliau di UUM bermula pada tahun 1986 sebagai seorang Tutor di Sekolah Pengajian Asasi. Antara jawatan pentadbiran beliau di UUM ialah sebagai Pensyarah di Sekolah Pengajian Asasi, Pengerusi Program Siswazah, Sekolah Pembangunan Sosial dan Pembangunan, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Dekan Hal Ehwal Pelajar, Dekan Fakulti Pengajian Antarabangsa, Dekan Pasca Siswazah dan Penyelidikan, Pengarah Pusat Hal Ehwal dan Kerjasama Antarabangsa, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) dan Naib Canselor Universiti Utara Malaysia mulai Jun 2010 hingga kini.

Beliau kini juga adalah merupakan Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara sejak 01 April 2010.

Berdasarkan sumbangan serta khidmat bakti beliau kepada masyarakat dan negara, Profesor Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak telah dikurniakan dengan beberapa darjah kebesaran dan antaranya ialah Penganugerahan Darjah Setia Diraja Kedah (DSDK) yang membawa gelaran Dato’ oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah pada tahun 2011. Darjah-darjah kebesaran lain yang turut diterima beliau ialah Ahli Mahkota Kedah (AMK) dan Bintang Kebaktian Masyarakat (BKM) oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah.  Beliau juga pernah menerima anugerah Versatile Award dari Jabatan Sains Politik, Universiti Kebangsaan Malaysia (1984) dan Anugerah Kecemerlangan Akademik, dari Jabatan yang sama Universti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1983.

Profesor Dato' Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak telah mendirikan rumah tangga bersama Datin Seri Norhayati Bt. Nazri dan telah dikurniakan empat (4) orang cahaya mata (dua orang lelaki dan dua orang perempuan).

uum mygov msc mampu myideas myline tourism krste sirim

sirim