Video UUMTube

TINGKATKAN PENYELIDIKAN DAN PENERBITAN UNTUK CAPAI PELAN STRATEGIK UUM (2016-2020)

 

logo ukk

23 FEBRUARI 2017 / 26 JAMADILAWAL 1438H
================================

"UUM : UNIVERSITI PENGURUSAN TERKEMUKA"
           (THE EMINENT MANAGEMENT UNIVERSITY)

TINGKATKAN-PENYELIDIKAN-DAN-PENERBITAN-UNTUK-CAPAI-PELAN-STRATEGIK-UUM-2016-2020

UUM ONLINE: Naib Canselor, Prof Dato' Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak menggesa agar ahli akademik meningkatkan lagi usaha dalam bidang penyelidikan dan penerbitan ke arah merealisasikan Pelan Strategik UUM (2016-2020) ketika mempengerusikan Mesyuarat Pembentangan Pencapaian Tahun 2016 di Bilik Senat, semalam.

Menurutnya, isu atau masalah sama yang masih berlegar sejak 2011 adalah melibatkan isu penerbitan dan penyelidikan yang belum mencapai sasaran dikehendaki walaupun terdapat peningkatan.

"Ahli akademik perlu menghasilkan penyelidikan atau hasil kerja mereka yang diterbitkan dalam jurnal terutamanya SCOPUS, malah boleh menjalinkan kerjasama dengan universiti luar menerusi geran padanan. Sudah menjadi tugas ahli akademik atau penyelidik ini untuk memberi sumbangan kepada bidang ilmu pengetahuan yang boleh memberi manfaat kepada orang lain.

"Justeru, pada tahun ini kita menekankan kepada bidang-bidang tersebut termasuk perundingan menerusi S-CoE atau U-CoE, selain menumpukan perhatian pada isu penjanaan kekayaan dan pengantarabangsaan untuk menjadikan UUM dikenali di peringkat global," ujarnya.

Naib Canselor berkata, dalam meningkatkan penjanaan kekayaan universiti, pelbagai usaha harus ditingkatkan lagi termasuk keperluan mewujudkan perancang kewangan supaya tidak bergantung sepenuhnya kepada Jabatan Bendahari.

Tambahnya, universiti mungkin boleh menubuhkan satu unit atau entiti baharu untuk membuat perancangan kewangan yang lebih baik dengan memberi panduan serta nasihat kepada pengurusan berkaitan penjanaan kewangan.

Dalam mesyuarat itu juga, beliau menekankan tentang isu pengantarabangsaan menerusi pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) atau Memorandum Persefahaman (MoU) supaya UUM dikenali di seluruh dunia.

"Kita kena bergerak sekarang dan tidak boleh hanya dikenali dalam negara sahaja, tambahan pula UUM merupakan universiti nombor satu di negara ini sebagai Universiti Pengurusan.

"Selain itu, bagi mengekalkan kualiti pelajar, kita boleh meletakkan had bilangan pelajar bagi program siswazah dan juga pascasiswazah seperti universiti-universiti terkemuka dunia lain, selain pusat pengajian perlu lebih kreatif mengubah kurikulum dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang tidak 100 peratus fokus kepada teori sahaja," katanya.

Pembentangan pencapaian telah dibentangkan Pengarah IPQ, Prof Madya Dr Faudziah Zainal Abidin berdasarkan empat teras dalam Pelan Strategik iaitu Teras 1 (Mempertingkatkan Kesarjanaan dan Pengantarabangsaan); Teras 2 (Pembangunan Modal Insan dan Pengurusan Bakat); Teras 3 (Membangun Mahasiswa Secara Holistik) dan Teras 4 (Menjana Kekayaan).

Sebanyak 198 daripada 212 Petunjuk Prestasi (PI) telah dibentangkan dan daripada jumlah tersebut, 127 (64%) PI telah mencapai indikator hijau, 4 peratus berwarna kuning, 23 peratus berwarna merah dan 9 peratus berwarna hitam.

Dr Faudziah turut membentangkan prestasi 27 Pusat Tanggungjawab (PTJ) dan 16 pusat pengajian yang mana tiga pusat pengajian berada di kedudukan teratas dengan mencapai indikator berwarna hijau iaitu Pusat Pengajian Pengkomputeran dengan PI sebanyak 54 peratus, diikuti Pusat Pengajian Tunku Intan Safinaz (TISSA) 49 peratus dan OYAGSB mencapai PI sebanyak 44 peratus.

Beliau juga membentangkan perancangan bagi tahun 2017 iaitu merancakkan aktiviti penerbitan, meningkatkan kerjasama antarabangsa menerusi MoU dan MoA, pengantarabangsaan program ijazah berganda dan meningkatkan enrolmen atau jumlah pelajar antarabangsa dan memupuk pengumpulan dana kewangan melalui wakaf dan endowmen.

 


===============================
DARIPADA:
SEKSYEN MEDIA
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
UNIVERSITI UTARA MALAYSIA
TEL.: 04-928 3040/3048/3049
FAKS: 04-928 3053
E-MEL:
FACEBOOK: Universiti Utara Malaysia (Official FB)

Capaian Pantas

audio video
penerbitan
QR-code
online statistik

uum mygov msc mampu myideas myline tourism krste sirim

sirim