Video UUMTube

PENJAWAT UUM HARUS PEGANG PRINSIP INTEGRITI ELAK JEJAS NAMA UNIVERSITI

 

logo ukk

21 FEBRUARI 2017 / 24 JAMADILAWAL 1438H
================================

"UUM : UNIVERSITI PENGURUSAN TERKEMUKA"
           (THE EMINENT MANAGEMENT UNIVERSITY)

PENJAWAT-UUM-HARUS-PEGANG-PRINSIP-INTEGRITI-ELAK-JEJAS-NAMA-UNIVERSITI

UUM ONLINE: Penjawat Universiti Utara Malaysia (UUM) ditegaskan untuk menjaga integriti dan akauntabiliti bagi mengelak persepsi buruk dan nama universiti terjejas.

Naib Canselor, Prof Dato' Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata, semua penjawat awam di universiti ini harus berpegang pada prinsip integriti yang telah ditetapkan dalam perkhidmatan awam dengan tidak terlibat dalam perkara yang melibatkan isu integriti.

Menurutnya, isu integriti adalah sangat penting bagi setiap organisasi sama ada awam atau swasta, justeru beliau mahu semua pegawai di UUM dapat memahami tentang integriti dan akauntabiliti.

"Di universiti ini sendiri sudah ditubuhkan Unit Integriti dan kita mengambil langkah untuk mengukuhkan lagi unit tersebut dengan bekerjasama Unit Audit Dalaman bagi memastikan semua pegawai bebas dari isu integriti demi menjaga nama baik UUM.

"Selain unit itu, UUM juga telah menubuhkan Institut Kajian Rasuah Asia (ARIC) yang akan mengkaji tentang isu rasuah di benua Asia, khususnya di Asia Tenggara kerana kita percaya masih banyak lagi isu berkaitan rasuah ini yang belum dikaji sepenuhnya," katanya pada Majlis Perasmian Kursus Penjawat Utama: Modul Integriti dan Akauntabiliti di EDC Hotels & Resorts, pagi tadi.

Tambah beliau lagi, UUM perlu ada pangkalan data yang cukup bukan sahaja untuk kegunaan akademik atau ilmiah tetapi juga menjadi rujukan kepada kerajaan atau agensi dalam usaha membantu melaksanakan dasar berkaitan rasuah dan integriti.

Menurutnya, selain membuat kajian kes dalam negara, ahli akademik juga boleh belajar tentang kes-kes yang berlaku di negara luar seperti negara Latin atau Afrika, berbanding negara maju yang kurang terlibat dengan masalah integriti itu.

"ARIC juga boleh memainkan peranan penting dengan menjadi 'back office' kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), malah boleh menggunakan bahan kes sebagai sumber pengajaran di dalam kelas.

"Kita tidak boleh mengambil mudah isu ini dan ARIC sepatutnya sudah mula bergerak dengan membuat kajian tentang banyak isu dengan bekerjasama dengan SPRM, malah bantu agensi ini membuat kajian, mengumpul bahan untuk dijadikan kajian kes," ujarnya.

Naib Canselor berkata, UUM juga antara universiti terawal yang memperkenalkan kursus Etika Pengurusan kepada pelajar yang mana ia bukan sahaja akan melahirkan seorang pengurus yang pandai pada masa hadapan, malah memiliki nilai etika yang tinggi.

Ujarnya, beliau berharap peserta kursus yang terdiri penjawat utama universiti dapat berpegang teguh pada Ikrar Integriti dan Ikrar Perkhidmatan Awam bagi mengelak terjebak dalam isu yang boleh menjejaskan reputasi diri dan organisasi.

Seramai 70 penjawat utama terdiri Penolong Naib Canselor, Dekan, Pengarah Pusat Tanggungjawab dan Pengetua Inapan Siswa (Inasis) menghadiri kursus anjuran Jabatan Pendaftar yang dikendalikan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Dato' Shamshun Baharin Mohd Jamil.

Hadir sama Pendaftar, Dato’ Mohamad Akhir Yusuf; Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Dr Hassan Ali dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dr Noor Azizi Ismail serta pegawai kanan UUM.

 


===============================
DARIPADA:
SEKSYEN MEDIA
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
UNIVERSITI UTARA MALAYSIA
TEL.: 04-928 3040/3048/3049
FAKS: 04-928 3053
E-MEL: ukkuum@uum.edu.my
FACEBOOK: Universiti Utara Malaysia (Official FB)

Capaian Pantas

audio video
penerbitan
QR-code
online statistik

uum mygov msc mampu myideas myline tourism krste sirim

sirim