UUM ONLINE: Gotong-royong mengindahkan Surau Batu Sungai, Bukit Kachi bukan sahaja menyemai perasaan cintakan alam semulajadi, malah memupuk semangat berpasukan, luhur budi dan sabar.
Ahli Jawatankuasa Biro Sukan dan Rekreasi, Chance Club, Adilah Ishak berkata, kunjungan ahli kelab ke Surau Batu Sungai Bukit Kachi tidak pernah menjemukan kerana keunikan surau tersebut diperbuat daripada batu-batu sungai yang disusun rapi, kemas, menarik dan menjadikannya kelihatan unik.
Menurutnya, persekitaran surau ini juga menghidangkan panorama indah flora dan fauna serta air sungai yang jernih dan tenang mengalir di celahan batu sungai yang sesuai untuk diadakan aktiviti riadah sambil menikmati udara segar dan nyaman.
“Aktiviti gotong-royong ini melibatkan semua ahli yang bersama-sama mengangkut batu dari dalam sungai dengan menghulurkan batu antara satu sama lain untuk pembinaan tempat rehat di tebing sungai dan ruang makan untuk kegunaan orang ramai.
“Memang seronok berkelah beramai-ramai di tepi sungai ini dengan air yang yang mengalir bersih, sejuk dan nyaman,” katanya pada program amal anjuran Kelab Canselori atau Chance Club, baru-baru ini.
Selain Chance Club terdapat beberapa jabatan lain yang turut sama berganding bahu mengangkat batu sungai sekali gus memeriahkan lagi suasana.
Sementara itu, peserta, Farah Wahidah Mahmood menyifatkan program ini membuka mata masyarakat tentang Universiti di Rimba Hijau dan persekitarannya yang penuh dengan pelbagai khazanah berharga.
“Inilah kali pertama saya melihat surau yang sungguh unik di dalam hutan belantara sehingga menggamit tumpuan orang ramai. Suasana di dalamnya sejuk dan mendamaikan sesiapa sahaja yang berkunjung ke sini,” katanya.
Ujarnya, acara santai ini berjaya mencapai matlamat untuk mengeratkan silaturahim sesama warga kampus di samping mempromosikan gaya hidup sihat.